Pages

Selasa, 8 September 2015

KISAH KISAH WALI ALLAH



KISAH LUAR BIASA HAMBA ABDI



Pada suatu hari Syeikh Abdul Wahid bin Zaid penganti kepada ahli sufi terkenal Hassan Al-Basri dan mempunyai salsilah Fudhail Bin Iyadh serta pernah mendapat didikan dan berguru dengan Imam Abu Hanifah,pengasas mazhab hanafi berjalan di pasar
Tiba-tiba ia terlihat seorang hamba yang sedang dijual di pasar. Syeikh Abdul Wahid ingin membeli hamba untuk membantunya kerja-kerja di rumahnya.

Hamba yang dibelinya itu seorang yang sangat rajin dan taat melakukan kerja-kerja yang diarahkan oleh Syeikh Abdul Wahid dengan tekun sekali. 

Syeikh Abdul Wahid merasa hairan tentang perilaku pelik luar biasa hambanya, iaitu di waktu malam tidak ada di rumah walaupun Syeikh Abdul Wahid puas mencarinya sedangkan pintu rumahnya tertutup dan tiada tanda-tanda pintu dibuka. 

Pada waktu pagi, hamba tersebut memberikannya sekeping wang dirham yang terukir di atasnya surah Al-Ikhlas. Hamba tersebut, menyatakan jangan ditanya kemana dia pergi. Syeikh Abdul Wahid menerimanya dan tidak mahu mengetahui apa yang dilakukan dan kemana hambanya pergi pada malam hari. 

Setelah sekian lama, pada satu hari datang seseorang mengadukan kepada Syeikh Abdul Wahid tentang perilaku hambanya kerjanya mengali kubur orang meninggal dunia.

Syeikh Abdul Wahid terkejut tentang apa yang telah diberitahu oleh kenalannya dan berjanji akan menyiasatnya terlebih dahulu. 

Pada suatu malam, Syeikh Abdul Wahid mengintai gerak-geri hambanya tanpa diketahui olehnya. Syeikh Abdul Wahid melihat dengan jelas dan pelik bagaimana pintu bilik hamba itu dibuka dan ditutup hanya dengan menghala jarinya sahaja.

Syeikh Abdul Wahid terus mengekori hambanya sampai ke suatu tempat lapang di padang pasir. Hambanya menukar pakaiannya kepada pakaian yang diperbuat daripada guni.

Hambanya menunaikan solat sehingga terbit fajar. Setelah selesai solat hambanya terus berdoa dan memohon kepada Allah, "Wahai tuanku yang besar berilah upah kepada tuanku yang kecil."

Luar biasa, selesai berdoa jatuhlah sekeping wang dirham dari langit. Syeikh Abdul Wahid memerhatikannya dengan perasaan hairan dan takjub sekali. 

Oleh kerana hari hampir siang, Syeikh Abdul Wahid mencari air disekitarnya untuk berwuduk dan menunaikan solat subuh. Kemudian, selesai solat subuh Syeikh Abdul Wahid berdoa bahawa dia berjanji akan memerdekakan hambanya, kerana hambanya seorang yang soleh. 

Selesai berdoa, Syeikh Abdul Wahid berusaha mencari hambanya tetapi tidak berjumpa kerana dia menghilangkan diri dengan begitu cepat sekali. Syeikh Abdul Wahid mencari jalan untuk pulang ke rumahnya tetapi tidak berjumpa ini kerana tempat tersebut terlalu asing baginya.

Dengan perasaan cemas dan menyesal atas tindakannya mengekori hambanya. Ketika Syeikh Abdul Wahid mundar mandir mencari bantuan beliau ternampak seseorang berkuda sedang menuju ke arah beliau. 

Dengan perasaan tidak sabar menunggu orang itu sampai ke arahnya, lantas orang berkuda itu bertanya, "Apakah yang sedang dibuat olehmu wahai Abdul Wahid."

Syeikh Abdul Wahid kehairanan dan berkata di dalam hatinya bagaimana orang berkuda itu mengetahui namanya. Lantas, Syeikh Abdul Wahid memberitahu apa yang terjadi.

Orang yang berkuda itu memberitahu, "Janganlah kamu berasa curiga tentang apa yang berlaku."

Lantas orang yang berkuda memberitahu lagi, "Tahukah kamu berapa jauh jarak rumah kamu dengan tempat ini?".

Jawab Syeikh Abdul Wahid, "Saya tidak tahu."

Jaraknya adalah dua tahun perjalanan dengan kuda yang berlari laju kata orang berkuda itu kepada Syeikh Abdul Wahid, kehairanan dan berkata dalam hati semasa aku mengikut hambaku malam tadi hanya beberapa minit sahaja perjalanan kemari.

Orang berkuda telah berpesan kepada Syeikh Abdul Wahid jangan pergi kemana-mana tunggu sahaja di sini sampai hambamu datang dan mengikuti pulang ke rumah.

Semasa menunggu Syeikh Abdul Wahid telah beberapa kali tertidur dan terjaga kerana keletihan dan kehausan. Apabila Syeikh Abdul Wahid tersedar daripada tidurnya didapati disisi terdapat makanan dan minuman yang telah terhidang dan hambanya juga berada disitu. 

Hambanya mempelawa Syeikh Abdul Wahid makan makanan yang telah terhidang. Syeikh tanpa berkata-kata hanya menurut sahaja perintah dan makan dengan selera sekali. Hambanya berpesan kepada Syeikh Abdul Wahid agar tidak mengulangi perbuatan ini lagi dan tunggu sehingga hambanya selesai solat.

Seperti biasa selesai solat hambanya berdoa dan sekeping dirham diberikan kepada Syeikh Abdul Wahid, "Ini wang dirham malam tadi."

Setelah itu hambanya memimpin Syeikh Abdul Wahid berjalan dan tidak sampai beberapa saat sahaja mereka telah tiba di hadapan rumah Syeikh Abdul Wahid.

Hambanya bertanya kepada Syeikh Abdul Wahid benarkah Syeikh memerdekakannya kerana Allah SWT. Lalu hambanya, menunjukkan batu penyedal pintu dan menyatakan bahawa ia adalah wang tebusan pembebasannya.

Syeikh Abdul Wahid sangat hairan bagaimana batu tersebut boleh bertukar menjadi seketul emas. 

Keesokkannya, Syeikh Abdul Wahid pergi ke rumah kenalannya yang menuduh hambanya seorang penggali kubur untuk menceritakan perkara yang sebenar.

Sementara di rumahnya, anak perempuan Syeikh Abdul Wahid memarahi hambanya tentang kehilangan ayahnya selama dua malam sambil menuduh membunuh ayahnya kerana mengintip perbuatan jahatnya menggali kubur orang.

Anak perempuan Syeikh telah mengambil batu dan membalingnya ke arah hambanya lalu terkena pada matanya yang menyebabkan mata hamba terkeluar dan dia jatuh pengsan. 

Setelah itu, ketika Syeikh Abdul Wahid balik dan mengetahui tentang apa yang berlaku. Dengan perasaan marah Syeikh Abdul Wahid mengambil pedang lalu memotong tangan anaknya sehingga putus. Syeikh Abdul Wahid sangat menyesal atas apa yang berlaku tentang tuduhan yang dibuat oleh anaknya sedangkan mereka tidak mengetahui hal yang sebenar. 

Setelah itu, apabila hambanya sedar daripada pengsan dia bingkas bangun serta mengambil mata yang terjatuh tadi lalu dimasukkan kembali ke tempat asalnya sambil berdoa.

Dengan izin Allah matanya elok seperti sediakala. Kemudian, dia mengambil tangan anak Syeikh Abdul Wahid yang putus seraya membaca sesuatu dengan izin Allah tangan anak Syeikh pulih seperti sediakala.

Orang ramai kehairanan melihat kejadian luar biasa yang telah berlaku. 

Begitulah, besarnya darjat orang-orang yang taat beribadah dan patuh kepada Allah semata-mata, sehinggakan memperolehi darjat kemuliaan yang tinggi dan luar biasa dari Alllah Subhanallahu Wataala.

Semoga kisah para wali allah ini menginsafi diri ini, bahawa Allah berhak memberikan 'kelebihan' kepada sesiapa sahaja hamba yang dipilih olehNya.

Bersama-samalah kita memperelok dan meningkatkan amalan kita semata-mata hanya kepadaNya.




KISAH WALI ALLAH YANG DITUDUH MENCURI

Diceritakan oleh Zin-Nun Rahimahullah....
Suatu waktu, saya naik kapal laut menyeberangi lautan untuk mencari barang yang saya perlukan. Kapal ini penuh dengan orang-orang asing yang hendak kembali ke kampung halamannya. Tidak sengaja saya melihat seorang pemuda yang sangat tampan, dan wajahnya bersinar. Duduknya sangat tenang tidak seperti penumpang lain yang mundar mandir kerana penat. Setelah beberapa saat mengarungi lautan, kemudian terdengar pengumuman dari awak kapal, bahwa Nahkoda Kapal kehilangan barang yang sangat berharga, dan akan dilakukan pemeriksaan pada setiap penumpang, untuk itu para penumpang diharap duduk semua ditempatnya masing-masing. Saya sebenarnya merasa heran, bagaimana mungkin Nahkoda kapal itu dapat kehilang barangnya, kalau tercicir rasanya mungkin tetapi kalau kecurian?

Para penumpang silakan duduk. Kami akan memulai pemeriksaan. Demikian pengumuman diserukan oleh awak kapal. Maka dimulailah pemeriksaan. Satu persatu para penumpang diperiksa dengan saksama oleh awak kapal. Tetapi setelah hampir semua diperiksa, barang yang hilang tersebut juga belum ditemukan, sampai akhirnya pemuda yang tampan itu tiba gilirannya untuk diperiksa. Kerana pemuda itu yang terakhir diperiksa, maka para awak kapal memeriksanya dengan kasar, mungkin fikirannya mereka, Ah, rasanya dialah yang mengambilnya, kerana hanya dia yang belum diperiksa. Si pemuda protes, kerana merasa dikasari, dan melompat ke pinggir kapal sambil berkata: Bukan saya pencurinya, kenapa kasar begitu. Para awak kapal semakin curiga, kerana hanya pemuda itulah satu-satunya yang membantah dan mengejarnya serta berusaha menangkap si pemuda. Akhirnya kerana geram si pemuda akhirnya melompat ke laut. Para penumpang berteriak terkejut dan ketakutan, kemudian semua melihat ke arah pemuda tersebut menerjukan dirinya. 

Sekali lagi mereka terkejut, ternyata di lautan pemuda tersebut tidak tenggelam bahkan duduk di atas permukaan laut seperti duduk di atas lantai. Kemudian pemuda itu berteriak dengan keras: Ya Allah, mereka semua telah menuduhku sebagai pencuri ! Demi ZatMu, wahai Pembela yang teraniaya, perintahkanlah agar ikan-ikan yang ada di laut ini di mulutnya membawa permata berharga. Tak lama kemudian para penumpang dan awak kapal melihat sekumpulan ikan keluar dari dalam lautan dan di mulutnya tampak batu-batu permata berkilauan. Dengan kuasa Allah, ribuan ikan seperti pasir saja mengelilingi si pemuda dengan membawa permata yang sangat berharga dan besar-besar. Semua yang melihatnya menjadi silau dan berteriak menepukkan tangannya kepada si pemuda itu. Saya tercengang dan tidak dapat berkata-kata, begitupun dengan para awak kapal, mereka jadi bingung merasa bersalah. Apakah kalian masih menuduhku, sedangkan harta Allah ada di depanku dan dapat saja kuambil dengan mudah. Teriak si pemuda kepada kami semua. 

Kemudian pemuda tersebut menyuruh ikan-ikan tersebut kembali ke tempatnya, dan kilauan pasir permata yang tadi ada tiba-tiba menghilang kembali menjadi lautan biasa. Si pemuda berdiri diatas air dan berjalan secepat kilat menjauhi kapal sambil mulutnya terus berwirid: Hanya kepadaMu lah aku menyembah, dan hanya kepadaMu aku memohon, surah Al-Fatihah: ayat 4. Saya tidak menduga kalau pemuda ini ialah termasuk para wali Allah seperti yang diterangkan oleh Rasulullah saw.: Akan tetapi ada dalam umatku sebanyak 30 lelaki, hati mereka sama dengan Nabi Ibrahim AS, setiap mati seorang diantara mereka, maka akan diganti Allah orang lain ditempatnya




WALI WAFAT DI HADAPAN PARA WALI

Ada seorang wali Allah bernama Abu Jahir telah keluar dari negerinya dan tinggal di sebuah tempat yang jauh dari kampung asal bersama isteri dan keluarganya yang lain. Di tempat baru ini, dia telah mendirikan sebuah masji dan beribadah di situ dengan tekun dan tenang. Beliau sentiasa dikunjungi oleh orang yang ingin belajar dan mendalami jalan menuju Allah SWT.

Pada suatu hari seorang wali Allah yang lain bernama Soleh Al-Mari berazam untuk menziarahi Abu Jahir untuk mendapatkan barakah dari beliau. Maka pada hari yang telah ditetapkan, berangkatlah Soleh menuju negeri tempat tinggalnya Abu Jahir. Di tengah perjalanan, beliau bertemu dengan Muhammad bin Wasi’, kenalannya yang juga seorang Wali Allah.

“Assalaamuálaikum.” kata Soleh.

“Waálaikumussalaam warahmatuLlah” jawab Muhammad bin Wasi’

Kedua wali Allah ini pun berpelukan sambil bertanyakan khabar masing-masing dan berbual mengenai masalah kesufian.

“Engkau hendak pergi ke mana?” tanya Muhammad.

“Aku hendak menziarahi rumah Abu Jahir”

“Ke rumah Abu Jahir?”

“Ya, betul”

“Masya Allah, aku juga hendak pergi bersama.”

Kedua-duanya pun berangkat menuju ke tempat tinggal Abu Jahir dan setelah berjalan beberapa batu, mereka bertemu dengan seorang lagi Wali Allah bernama Hubaibul Ajami. Mereka bersalaman dan bertanyakan khabar.

“Hendak ke mana anda berdua ini?” tanya Hubaibul Ajami.

“Kami hendak menziarahi rumah Abu Jahir”

“Aku juga dalam perjalanan ke sana”

“Kalau begitu eloklah kita pergi bersama”

Mereka meneruskan perjalanan dalam keadaan yang sungguh menggembirakan kerana bilangan mereka semakin ramai. Setelah sampai di suatu tempat, tiba-tiba mereka berjumpa dengan Malik bin Dinar, seorang wali Allah yang masyhur. Mereka bersalaman.

“Hendak pergi ke manakah kamu ini?” tanya Malik bin Dinar.

“Kami hendak menziarahi rumah Abu Jahir”

“Subhanallah, aku juga sedang menuju ke sana.”

“Kalau begitu, kita pergi bersama.”

Sekarang mereka menjadi berempat dengan tujuan yang sama. Dengan kuasa Allah SWT, di tengah perjalanan, mereka berjumpa seorang lagi rakan Wali Allah yang bernama Thabit Al-Bannani. Mereka pun bersamalam dan saling bertanyakan khabar.

“Kamu hendak ke mana?” tanya Thabit.

“Kami hendak menziarahi rumah Abu Jahir”

“Masya Allah, saya juga akan ke sana.”

“Kalau begitu, kita pergi bersama.”

“Segala puji-pujian bagi Allah sWT yang telah mengumpulkan kita dan pergi bersama-sama walaupun tanpa perjanjian” kata Thabit Al-Bannani

Berjalanlah kelima-lima Wali Allah berkenaan menuju rumah Abu Jahir. Sepanjang perjalanan, mereka tidak putus-putus memuji dan bersyukur ke hadhirat Allah SWT justeru mengurniakan peluang berjalan bersama menuju ke rumah WaliNya. Tidak satu pun ucapan yang keluar dari mulut mereka melainkan perkataan yang mendatangkan manfaat.

Setelah berjalan beberapa lama, mereka singgah di suatu tempat untuk berehat dan solat.

“Marilah kita solat dua rakaat di sini, agar tempat ini ikut menjadi saksi esok di hari Kiamat di hadapan Allah Azza Wajalla” kata Thabit Al-Bannani

“Satu cadangan yang baik” sahut yang lain.

Lalu mereka mengerjakan solat bersama-sama dengan penuh khusyuk dan tawadduk. Setelah menunaikan solat, mereka berdoa untuk kepentingan umat Islam sekeliannya untuk di dunia dan di akhirat. Kemudian mereka meneruskan perjalanan dan akhirnya tiba di rumah Abu Jahir.

Terasa kedamaian pada mereka apabila terpandang rumah dan masjid yang didirikan oleh Abu Jahir. Namun mereka tidak terburu-buru mengetuk pintu atau minta izin untuk masuk demi menjaga peradaban Wali Allah. Mereka pun duduk di masjid menunggu Abu Jahir keluar untuk solat. Tidak berapa lama kemudia, waktu Zohor pun masuk. Maka keluarlah Abu Jahir tanpa bercakap apa-apa sebaliknya terus masuk ke masjid, berazan, iqamah dan solat. Kelima-lima tetamunya yang mulia itu solat berjemaah berimamkan Abu Jahir.

Selepas solat, barulah mereka menemui Abu Jahir satu persatu. Mula-mula sekali Muhammad bin Wasi’.

“Assalaamuálaikum” kata Muhammad

“Waálaikumussalaam” jawab Abu Jahir disambung dengan pertanyaan

“Anda ini siapa?”

“Saya saudaramu Muhammad bin Wasi’ “

“O...Kalau begitu andalah orang Basrah yang terkenal paling bagus solatnya itu kan?”

Muhammad diam tanpa berkata apa-apa.

Kemudian, Thabit Al-Bannani maju ke hadapan.

“Siapakah anda ini?” tanya Abu Jahir

“Saya saudaramu Thabit Al-Bannani”

“O...Kalau begitu kamu yang dikatakan sebagai orang Basrah yang paling banyak solatnya itu kan?” Tanya Abu Zahir.

Thabit juga diam tanpa berkata apa-apa.

Tiba pula giliran Malik bin Dinar.

“Siapakah anda ini?” tanya Abu Jahir

“Saya saudaramu Malik bin Dinar” jawabnya.

“Masya Allah, jadi kamulah yang termasyhur sebagai orang yang paling zuhud di kalangan penduduk Basrah, bukan?”

Malik juga tidak berkata apa-apa. Kemudian Hubaib Al-Ajami menemui Abu Jahir.

“Anda ini siapa?” tanya Abu Jahir

“Saya adalah saudaramu Hubaib Al-Ajami”

“Masya Allah, kalau begitu andalah yang terkenal di kalangan penduduk Basrah sebagai orang yang mustajab doanya” kata Abu Jahir

Seperti yang lain, Hubaib mendiamkan diri. Akhirnya tiba giliran Soleh Al-Mari maju ke hadapan untuk memperkenalkan dirinya.

“Anda pula siapa?” tanya Abu Jahir.

“Saya saudaramu Soleh Al-Mari” jawabnya.

“Subhanallah, kalau begitu andalah yang terkenal di kalangan penduduk Basrah sebagai qari yang fasih dan bagus suaranya.”

Soleh juga tidak mengeluarkan apa-apa komen.

Abu Jahir bertafakur sebentar seperti mengenangkan sesuatu.

“Aku sebenarnya sangat rindu dan ingin mendengar suaramu wahai saudaraku” kata Abu Jahir. “Oleh itu, aku suka engkau bacakan empat atau lima ayat Al-Qurán kerana aku ingin sangat mendengarnya.”

Soleh memenui permintaannya lalu dia membuka Al-Qurán dan membaca Surah Al-Furqan : Ayat 22 yang bermaksud :

“Pada hari mereka melihat malaikat di hari itu tidak ada khabar gembira bagi orang-orang yang berdosa dan mereka berkata “Hijraan mahjuuraa” Dan Kami hadapi segala amal yang mereka kerjakan lalu kami jadikan amal itu debu yang berterbangan”

Sebaik sahaja mendengar bacaan ‘debu yang berterbangan’, Abu Jahir berteriak kuat sehingga pengsan disebabkan rasa ketakutan yang teramat sangat kepada Allah SWT. Apabila beliau sedar dari pengsannya, dia berkata “Sila ulangi pembacaan ayat tadi”

Soleh mengulangi bacannya dan apabila sampai kepada “Debu yang berterbangan”, sekali lagi Abu Jahir berteriak sehingga rebah di tempat sujud dan wafat ketika itu juga.

Soleh dan teman-teman Wali Allah nya sangat terharu menyaksikan kewafatan Abu Jahir yang mengkagumkan itu. Beliau wafat dalam keadaan amat ketakutan mendengar Kalam Ilahi. Tidak lama kemudian, isteri Abu Jahir muncul.

“Siapakah kalian ini?” tanya isteri Abu Jahir.

“Kami datang dari Basrah. Yang ini Malik bin Dinar, Hubaib Al-Ajami, Muhammad bin Wasi’, Thabit Al-Bannani dan saya adalah Soleh Al-Mari” jawab Soleh mewakili para aulia sahabatnya itu.

Tiba-tiba perempuan itu berkata “Innaa lillaahiwainnaa ilaihi raajiúun...kalau begitu Abu Jahir telah wafat”

Soleh dan rakan-rakan wali Allah nya merasa hairan terhadap perempuan itu, kerana dia telah memastikan kematian suaminya, padahal dia belum menyaksikannya dan mereka juga belum memberitahunya apa yang telah terjadi.

“Dari mana puan tahu bahawa Abu Jahir telah wafat?” tanya mereka kehairanan.

“Saya telah banyak kali mendengar doanya di mana beliau sering mengucapkan “Ya Allah, kumpulkanlah para Aulia-Mu pada saat ajalku” dan perempuan itu menyambung “Jadi, tidaklah kamu berkumpul di sini sekarang ini melainkan Abu Jahir telah wafat”

Rupa-rupanya doa Abu Jahir telah dimakbulkan Allah SWT.

Maka para Aulia itu pun menguruskan mayatnya dari memandikan, mengkafankan, menyembahyangkan sehinggalah menguburkan.

Maha Suci Allah, yang telah mewafatkan hambaNya yang mulia dan diuruskan oleh tangan-tangan yang mulia pula. Semoga kita dikumpulkan oleh Allah SWT dalam golongan orang yang baik-baik dan mati syahid..Amin Ya Rabbal Aa’lamiin.



0 ulasan:

Catat Ulasan